Monday 22 August 2011

0. Kisah Awal – Kerana W.S. Rendra dan Affandi

ENTAH Bagaimana kumpulan puisi W.S. Rendra, Kakawin Kawin boleh berada dalam himpunan rumah kami si Sentul. Mungkinkah hadiah daripada uncle Na Achnas, seorang pelukis grafik kelahiran Payokumboh yang kerap ditugaskan melukis ilustrasi buku terbitan Pustaka Antara . Mungkin juga buku ini dibawa oleh Bung Abdulllah Hussein (SN Datuk ) yang sudah beberapa kali muncul dai rumah berbicara panjang dengan ayah Wan Chik.

Ya, aku sudahpun mempunyai nama samaran Zaindra Kelana. Nama ini kerap pula disebut oleh guru seni lukisku Haji Idris Salam. Setiap kali beliau memanggilku untuk ke Kelab Seni Lukis Sekolah Aminudin Baki (SAB), selalu berpesan kepada siapa saja, "Eh, panggil Zaindra Kelana, ada pameran di MAHA". Ini sudah terjadi sejak tahun 1966 menjelang berakhirnya kelas tingkatan V. Nama ini tetap kurahsiakan maknanya. Tidak seorang pun tahu, kerana nama Rendra belum pernah disebut dalam kelas bahasa Melayu . Ketika itu kami diharuskan memamahi puisi " Bunga Popi" Usman Awang ataupun membalik halaman buku Suasana. Kala itu memang memang aku tidak dapat mengikuti puisi Masuri SN. Menghafal puisi Pungguk juga satu siksaan. Cara mengajar, memahami, memprosakan puisi sungguh menjengkelkan. Guruku Robiah Sidin (sekarang mantan Prof. UKM) begitu lembut dan pemalu. Cikgu Hussien Mahmud mengajar bahas Melayu dan cebisan sastera di tingkatan VI. Juga kurang menimbul minatku untuk serius di kelas itu. Aku masih juga kaku menikmati puisi-puisi wajib tingkatan V-VI . Mujur melalui Kelab Bahasa Melayu aku turut melibatkan diri sebagai AJK Buletin sehingga sajak awalku dapat muncul di situ. Tetapi kenapa ada gerah lain pula yang muncul dan anehnya begitu menyenangkan, bila aku membuka halaman buku Kakawin Kawin dan Romansa dalam Empat Kumpulan Sajak yang terbit tahun 1961. Buku ini sudah lama lusuh di tangan. Tetapi siapa W.S. Rendra? Tidak ada rujukan lain ketika itu. Tidak juga kutemui judul lain di perpustakaan sekolah. Dengan siapa pula harus kubawa hati dengan keinginan tahu mencari penyair yng menulis "Surat Cinta". Kukutip bait demi bait, malah bagai dapat menatap wajah 'dik Narti' (itulah orang yang kucari pda awal 1970an di Ketamanggunan kemudiannya).
Gambar 1: Pertemuan kembali dengan guruku Haji Idris Salam (allahyarham) dalam pameran Bunga-bunga Bulan di BSLN, 1990.

Sungguh dalam usia menjelang 17 tahun, aku belum lagi menatap wajah penyair ini. Namun suara puisinya sungguh bergetar yang kerap menggelinding , mengganggu tidur malamku, bagaimana tidak, dengan ungkapan,

Kutulis surat ini
kala hujan gerimis
bagai bunyi tambur bermainan
anaj-anaj peri dunia yang ghaib.
Dan angin mendesah
wahai dik Narti
aku cinta kepadamu !...

KEMUDIAN ku mula menyedari, akulah yang mengutip larik-larik ayat puisi W.S. Rendra. Sehingga puisi awalku memang terpengaruh dengan bait puisi penyair ningrat dari kraton Solo. Perkataan dalam puisinya kerap kuberi tanda garis ' gerimis, angin mendesah'. Masyaallah. Namun cepat kusedari, perkataan itu juga berbentuk universal - milik sejagat. Dengan berani akupun muka mencatat, menyalin apa saja yang terlintas di kepala dan terasa di hati. Tetapi kenapa aku juga mula membayangkan wajah' Dik Narti' penyair itu. Lebih berani, kenapa hatiku berkata, bukankah akulah 'Dik Narti?', yang mempunyai seorang kekasih yang memanjainya...Cepat ku insafi, memang aku ingin juga seperti mereka mempunyi kekasih yang menyayangi, tetapi, ah puisi dan seni, sehingga kawan-kawanku kerap melihat aku begitu aneh, suka berjalan sendiri, suka berdiri di belakang tiang bangunan , membaca atau mencatat tanpa memperduli tugas sebagai pengawas yang seharusnya menahan murid-murid 'nakal' kerana lambat sampai ke sekolah, dan pintu pagar sudah ditutup. Zoy sudah 'berdua' dengan Hanif, Leha berpasangan dengan Fahmi dan Alia dengan Amer. Di tingkatan VI, mereka masih kekal akrab sehinggalah Leha harus meninggalkan tingkatan V dan Fahmi tentu merasa kehilangan. Suasana menunggal berlanjutan ke tingkatan VI, tambahan kebanyakan kawan lelaki yang baru datang dari sekolah luar, makin sukar didekati, atau aku yang tidak mahu di dekati. Cuma Ghani dan Khozin, yang selalu tersenyum dan Ghani yang kerap mengekoriku dengan Zainon J untuk meredah rimba Gombak hingga ke Paya Jaras di Kuang. Yang lain-lain memang tidak ada kepedulian dengan keasyikanku di Kelab Seni lukis. Kecuali Mariam Sanariah dan Zahari Ghani yang sesekali sudi mengekoriku ke Galeri Samad. Di hari tua baru ku ketahui bila kami bertemu di acara reunion mereka memberi komentar ," Kami malulah berbaik dengan mu , anak kota..kamikan orang kampung" Ha?" . Barangkali itulah kewajaranku harus berbaik dengan puisi - larik keramat W.S Rendra, sedangkan di kelas bahasa Melayu, kami tidakpun didedahkan dengan puisi Kekawin Kawin itu.

Puisi W.S. Rendra itu amat mudah dihayati kerana penuh warna lukisan realis. Dia membawaku menengadah ke atas melihat 'langit menangis'. Dia juga mengeretku ke kolam, ada belibis mengibas ekor, melukis puteri duyung..dan angin mendesah ' terus bernyanyi. Aku telah masuk ke taman impian ciptaan penyair itu. Tetapi kepada siapa harus kuceritakan penemuan puisi W.S Rendra. Tidak ada sesiapa kecuali aku harus mencari sendiri penyair itu. Di mana ? Ya carilah ke Jogja! Bisik hati.

***

Tahun 1967 juga , nama Affandi muncul daripada bibir guruku Nas Achnaz. Ucap guruku ini,
" Nah, ini ada gambar lukisan Affandi, ini aliran realisme, judulnya 'Ibuku' . Dia juga terlibat dengan penubuhan ASRI " (Akademi Seni Rupa Indonesia , sekarang ISI -Institut Seni Indonesia )

Dua nama baru muncul, Affandi dan ASRI . Kutatap gambar lukisan 'Ibuku'. Sungguh berwajah sendu, perempuan bermuka bundar, penuh kedutan di dahi, di leher, jari yang merapat ke dada bagai mengusik hibaku. Oh sungguhkah sengsara kehidupan di hari tua?

***

Tahun 1968 itu sudah dua tahun aku berulang alik ke Galeri Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru. Ruang di tingkat dua bangunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KGMS) menjadi tempat kami berlatih, belajar melukis alam benda, dan potret. Di situlah guru kami yang sama di SAB melapang waktunya berkumpul di GAPS. Sesekai muncul Hussien Enas ( pelukis potret terkenal sejak tahun 1950an , berasal dari Bandung), Sabtu Yusuf, Shamsudin Mansur, Mazli Som, Wahid dan kami angkatan pelajar yang meminati seni lukis. Guru Haji Idris Salam juga sesekali membawa pelukis yang baru pulang dari luar negera seperti Khalil Ibrahim dan muncul juga Latiff Mohidin. Tetapi aku masih dengan caraku sendiri, suka bersendirian, tanpa banyak mengoceh dengan pelajar lelaki lain. Kawanku masih Mariam kawan sekelas di SAB yang kerap menjadi sahabat seni lukisku yang setia sehinggalah aku memilih kursus seni dia sebaliknya meneruskan kuliah di Fakulti Sastera Universiti Malaya yang tidak menawar jurusan Seni Lukis. Kami akhirnya berperisah kerana sampai akhir aku tidak pernah mengisi borang untuk meneruskan kuliah di tanah air, sebaliknya sibuk turun naik di Galeri APS mahupun ke Studio IBHAS di Pasar Minggu Kampung Baru.

Akhirnya aku tahu, aku tetap bersendirian melukis di rumah Sentul. Bung Dolah masih berulang alik ke rumah membawa buku-buku bacaan terutama novel dan puisi dari Indonesia. Buku HAMKA, Mochtar Lubis, Marah Rusli sudah menumpuk di meja tulis ayah Wan Chik. Muncul juga uncle Nas Achnaz melihat karya-karya lukisan batik dan pastel. Beliau tersenyum dan setengah jenaka dia bersuara kepada emak dan ayah Wan Chik, " Izan harus cepat buat pameran...dapatkan wang dan hantar belajar ke Indonesia " - Ya Rabbi, bukankah ini impianku? Beliaulah akhirnya mengatur pameran solongku di SHAH Motel, Petaling Jaya sempena perasmian motel tersebut pada Februari 1969. Seminggu sebelum pameran, atas usahanya, berdatangan wartawan Berita Harian, Utusan Melayu dan the Strait Times membuat temu ramah. Sehingga di surat khabar itulah beritaku ' Zainon ingin menjadi pensyarah Seni ' di halaman depan BH dan UM.

Nama Zaindra Kelana masih kuheret dalam nota kecil, catatan puisi dan surat-surat persahabatan baru - aku tidak mahu orang tahu siapakah Zaindra yang sudah rajin menulis puisi! Zaindra ? Rendra ?

Ya kerana puisi W.S. Rendra dan ' Ibuku' lukisan Affandi aku tiba di Jogja, Oktober 1969. Seterusnya bergabung di halaman rumah Rendra dan melihat Narti dalam latihan Mastodon dan Burung Condor sehingga Rendra sendiri datang mengajar di ASRI , segalnya masih rahsia. Aku membawa namanya ke mana-mana sejak dulu. Biarlah Latiff Mohidin ke Jerman, dia telah dulu ke sini, biar diriku mendahulu pula ke Jogja. Benar. Selepas tanggal 26 Oktober 1969, sesungguhnya aku sudahpun menempati rumah juga Sanggar Seni di Karangwuni, rumah puteri Affandi dan seterusnya aku kerap menemani (menonton) Affandi melukis di 'Rumah Daun'nya di Jalan Solo

***
Sesungguhnya kerana " Surat Cinta" W.S Rendra dan " Ibuku" Affandi yang menyeruku untuk tiba di rumah baru di Lembah Merapi! Selepas itulah aku selalu terhibur dengan deru kuda di pacu, bermain gerimis di puncak Prambanan, mendengar desah pasir Parang Tritis, bersama menguak di Pasar Sapi, menggelinding ke pasar burung di Ngasem, meredah ke sumur Taman Sari, belajar serimpi yang tidak pernah menjadi di Sanggar Bagung Kusdihardjo, terpegun dengan denting sarong dan sayup jauh meresap suara pesinden di kraton alun-alun Lor!

Ya, ku tinggalkan suara serak basah Firdaus Abdullah di Kampung Limau yang memukau dara-dara Gabungan Pelajar Melayu Semenanjug (GPMS), jeling Atondra yang mula mengusik sepupuku Aino, kuucap selamat tinggal Lili pelajar seni lukis ITM di Kuang, Bakri yang menolak sikapku yang kononya aku meniru gaya seniman Pago-Pago Latiff Mohidin , ya biarkan aku sendirian pergi ke Lembah Merapi. Biar kuhirup lagu seruni jauh di rantau orang. Siapakah yang datang menghulur tangan persahabatan selepas itu, kalau bukan Umbu Landung Paringgi, Linus Suryadi AG, Emha Ainul Najib, kala aku mencelah berbondong membuntuti Persada Grup tanpa mereka sedari? Dan di Sanggar Putih milik Amri Yahya kuikuti dongeng Pak Umar Khayam. Ya itulah Siti @ Zaindra Kelana berasal dari bumi Gombak terus menelurusi bumi lain hanya untuk menjejaki Seruni Merapi.

Siti Zainon Ismail, 3 Dis 2003